KLANG, 1 April- Yayasan Kebajikan Muslim (My Fund Action), ‘Malaysian Humanitarian Aid and Relief’ (MAHAR) dan Friends of Palestine dengan kerjasama syarikat penghantaran Aramex akan menghantar 20 tan bantuan ke Gaza melalui laluan laut.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata ia adalah kali pertama NGO di Malaysia menggunakan jalan laut untuk menghantar barang bantuan ke bumi Palestin itu.
"Ini menjadi pilihan yang kita ambil pada waktu ini kerana ia lebih efektif daripada segi serta kuantiti muatan adalah lebih banyak, walaupun mengambil sedikit masa."
"Jadi, ini adalah yang pertama dan bukan yang terakhir. Saya yakin kita akan hantar lebih banyak penghantaran melalui jalan laut ini pada masa hadapan," kata Datuk Mohamad kepada pemberita, di sini hari ini.
Barang bantuan yang akan dihantar melalui Pelabuhan Said di Mesir dengan kerjasama syarikat logistik Aramex merangkumi pek makanan sedia dimakan, kit kebersihan dan perubatan.
Barangan bernilai lebih RM670,000 itu akan memulakan ekspedisi dari Pelabuhan Klang Barat bermula 4 April dan dianggarkan tiba di Mesir pada Mei.
Bantuan itu akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir di Rafah dan akan memberi manfaat kepada lebih 30,000 keluarga di Gaza.