fb fb fb fb fb

20 sekolah sertai Program Cabaran Interaktif Pengguna, peringkat negeri

PAUH, 9 Oktober– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis menganjurkan Program Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP KPS) Peringkat Negeri Perlis.

Ianya melibatkan 80 orang pelajar yang mewakili 20 buah sekolah menengah di Perlis yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Pauh Putra.

Fokus utama program tahunan CIP KPS ini adalah untuk mendidik, menyebar luas dan menerapkan kesedaran kepenggunaan dalam kalangan pelajar melalui pendekatan baharu yang bersepadu.

Menurut Pengarah KPDNHEP Negeri, Norazah Jaapar, pertandingan CIP KPS ini adalah berbentuk cabaran interaktif atau 'explorace' yang menguji kecekapan, pengetahuan dan amalan kepenggunaan merangkumi aspek-aspek pengguna bijak, pengurusan kewangan berhemat, pemakanan sihat, pemeliharaan alam sekitar dan kerjasama berpasukan.


(80 pelajar yang mewakili 20 buah sekolah menengah di Perlis sertai Program Cabaran Interaktif
Pengguna Kelab Pengguna Sekolah)

Para peserta perlu membuat persinggahan di lapan hentian di mana setiap aktiviti dan tugasan disediakan di setiap 'checkpoint' tersebut.

SMK Derma telah mendapat markah tertinggi dan menjadi johan CIP KPS Peringkat Negeri Perlis dan akan ke Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan akan berlangsung pada 17 hingga 19 Oktober 2022 di Terengganu.

Turut diadakan taklimat 'Price Catcher' kepada guru pengiring dan sesi penyerahan barangan keperluan harian makanan kering kepada Food Bank Siswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan sasaran kepada 100 orang pelajar B40.

Penerimaan barangan ini diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Mohd Yusoff Mashor mewakili Food Bank Siswa UniMAP.

Barangan keperluan tersebut adalah merupakan sumbangan KPDNHEP Perlis dan juga NFS AMG Trading Sdn. Bhd. 

Media Baharu