(Dr Zaliha Mustafa (tengah) melawat PRPA Hotspot Kota Bharu, Sempena Hari Terbuka dan Program Komuniti Masyarakat
di Masjid Al-Fattah dekat Kampung Nilam, Kota Bharu, Kelantan)
KOTA BHARU, 30 Julai- Kementerian Kesihatan (KKM) menempatkan 20 lokasi Pusat Operasi Perkhidmatan Rawatan Pra Hospital dan Ambulans (PRPA) Titik Panas (Hotspot) di seluruh negara bagi membantu mengurangkan masa tindak balas ambulans ketika kecemasan.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, perkhidmatan itu ketika ini dikendalikan oleh St. John Ambulans Malaysia (SJAM).
PRPA Hotspot diwujudkan selepas pihaknya menerima banyak laporan mengenai kelewatan ambulans ketika kecemasan.
Dr Zaliha berkata, purata masa tindak balas dengan pelaksanaan PRPA Hotspot adalah selama 15 minit sekitar radius 10 hingga 15 kilometer.
SJAM sedang berusaha untuk memperoleh kenderaan, peranti dan peralatan perubatan baharu bagi memastikan perkhidmatan itu dapat dicapai.
"Dulu pada asalnya kita ada lima 'hotspot' dan sekarang kita telah tingkatkan kepada 20 'hotspot'. Insya-Allah, kalau kita dapat bajet yang lebih, mungkin kita boleh memperluaskannya sebab ia sangat membantu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PRPA Hotspot Kota Bharu, Sempena Hari Terbuka dan Program Komuniti Masyarakat di Masjid Al-Fattah dekat Kampung Nilam, di sini.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, sebanyak 111 unit peranti defibrilator luaran automatik (AED) disasarkan oleh SJAM di seluruh negara.
Sehingga kini, sebanyak 73 AED telah ditempatkan di lokasi seperti pusat beli-belah, stesen pengangkutan awam, sekolah, tempat ibadat, dan sebagainya di sekitar Lembah Klang.
(Dr Zaliha Mustafa)