KUALA LUMPUR, 4 November - Seramai 20 pelajar tahun dua Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyertai program khidmat masyarakat dan keusahawanan, Dental Sure Havoc 3.0, yang berlangsung di Kampung Orang Asli Bukit Manchung, Serendah selama tiga hari pada 1 November lalu.
Pengarah Program, Mohamad Hanis Hakim Kasudinata, program bertemakan 'Together We Share' ini untuk memberi kesedaran tentang kesihatan dan memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
“Program ini melibatkan pelbagai aktiviti menyeluruh, termasuk pameran dan ceramah kesihatan pergigian, pemeriksaan kesihatan asas, serta sesi pendidikan dan demonstrasi yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
"Kami berharap usaha ini dapat memberikan ilmu yang berkesan kepada penduduk dan memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, program ini juga menggalakkan pendidikan dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
"Bagi anak-anak Orang Asli, para pelajar tahun dua menyediakan aktiviti dan permainan berkonsepkan STEM.
"Kanak-kanak berusia 5 hingga 6 tahun diajar teknik menggosok gigi yang betul serta diberi pendedahan kepada diet seimbang," katanya.
Kanak-kanak Orang Asli diberikan pendedahan dan penjelasan tentang bahayanya rokok/Foto UiTM
Dalam pada itu, pemeriksaan kesihatan asas turut dijalankan dengan kerjasama Pasukan Kesihatan Bergerak Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor kepada golongan dewasa untuk mengesan masalah kesihatan lebih awal.
Bagi golongan wanita pula, mereka diberi latihan membuat bunga kawat, manakala remaja perempuan diuji kemahiran dalam bidang solekan melalui pertandingan mekap.
"Aktiviti-aktiviti ini bertujuan membuka ruang minda penduduk kepada peluang ekonomi melalui keusahawanan kendiri, sekali gus membantu meningkatkan taraf kehidupan," katanya.
Kemuncak program disempurnakan dengan majlis penutup yang dirasmikan oleh Dekan Fakulti Pergigian, Prof. Dr. Aida Nur Ashikin Abd Rahman.