20 langkah SPRM perkukuh DBKL, fokus tapak Bazar dan sewa PPR

Foto fail

KUALA LUMPUR, 3 Februari – Pengurusan dan pengagihan tapak Bazar Ramadan serta Aidilfitri antara isu utama yang diberi keutamaan dalam 20 langkah penambahbaikan tatakelola yang disyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuhan tatakelola pengagihan dan pengurusan tapak Bazar Ramadan serta Aidilfitri untuk elak penyalahgunaan dan ketirisan.
  • Penambahbaikan pengurusan kutipan sewa PPR dan Perumahan Awam bagi meningkatkan kecekapan dan integriti.
  • Pemantauan kontrak perkhidmatan lesen, penerbitan kandungan Studio Radio dan tadbir urus SUKANUN Ke-12 diperketatkan.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, penambahbaikan itu turut melibatkan pengurusan kutipan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA), selain pengurusan serta pemantauan kontrak pelaksanaan perkhidmatan pengurusan pelbagai lesen perniagaan.

Isu lain yang dikenal pasti ialah pengurusan pelaksanaan projek penerbitan kandungan siaran Studio Radio (Bahan Kreatif) serta tadbir urus Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia 2023 (SUKANUN Ke-12).

Menurut SPRM, syor berkenaan dibentangkan Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM (BPT) hasil pemerhatian dan siasatan terhadap prosedur sedia ada.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud menyambut baik cadangan itu dan menyifatkannya sebagai langkah penting untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan selain meningkatkan kecekapan serta integriti DBKL.

Sesi pembentangan disampaikan Ketua Cawangan F BPT, Zulhairy Zaidel, dengan kehadiran Pengarah BPT Datuk Mohd Zaki Hassan, Timbalan Pengarah II Ahmad Shukri Mohamad Taib dan Timbalan Pengarah III Norazlina Abd Rahim.

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan