fb fb fb fb fb

20 balu dan ibu tunggal di kawasan Kayang terima sumbangan

Pengerusi Institut Terjemahan Buku Malaysia, Noor Amin Ahmad bergambar bersama-sama penerima

KAYANG, 11 Mei - Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Taman Perumahan Behor Lateh mengambil inisiatif menyalurkan bantuan kepada golongan balu dan ibu tunggal di kawasan kejiranan itu.

Seramai 20 penerima sumbangan khas itu terdiri daripada mereka yang menetap di Taman Sri Tanjung, Taman Bumita, Taman Teratai, Taman Muda Sepakat dan Taman Desa Kayang.

Pengerusi KRT Taman Perumahan Behor Lateh Areff Affandy Ariffin memaklumkan, usaha itu digerakkan jawatankuasa KRT memandangkan kos sara hidup semakin meningkat ketika ini.

"Sudah tentu ramai yang memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup terutamanya mereka yang hilang tempat bergantung.

"Sumbangan berupa barangan keperluan harian ini hasil inisiatif dana yang dikumpulkan penduduk serta sumbangan daripada pelbagai pihak yang sentiasa peka dan prihatin akan nasib mereka yang memerlukan.

"Dalam kehidupan yang serba mencabar sekarang, orang yang bekerja dan berpendapatan pun susah, apatah lagi mereka yang tidak ada kerja serta tiada pendapatan tetap untuk menampung keluarga," kata Areff Affandy dalam Program Sumbangan Kasih KRT  di Dewan Orang Ramai Taman Perumahan Behor Lateh, di sini.

Sumbangan yang disalurkan itu sedikit sebanyak diharap dapat meringankan beban balu dan ibu tunggal di kawasan itu, selain tanda ingatan dari penduduk setempat yang sentiasa bekerjasama dan prihatin akan nasib jiran tertangga yang berbilang kaum.

Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Pengerusi Institut Terjemahan Buku Malaysia, Noor Amin Ahmad.

TETITIA YUSOFF