fb fb fb fb fb

200,000 rider boleh nikmati internet serendah RM33

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melakukan pelepasan penunggang p-hailing sempena Majlis Pelancaran Pakej P-Hailing Rahmah di pekarangan Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri hari ini/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Januari - Pemandu dan penunggang p-hailing akan menikmati perkhidmatan Internet serendah RM33 dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan tawaran itu ketika melancarkan pakej p-hailing Rahmah dengan kerjasama lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco), iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes).

Menurut beliau, insentif Pakej RAHMAH itu boleh dinikmati bermula hari ini hingga 23 April depan dengan kerjasama 16 syarikat penyedia platform p-hailing.

Antaranya FoodPanda, Grab, Bungkusit, Halo Delivery, iHantar, Lalamove, MatDespatch, Parcel365, RideRunner, Shopee, Fasz Food, Lazada Logistics, Belibeli, iGoGet, GoGet dan GoLog.

“Kerjasama seperti ini kita jalinkan untuk menyediakan pakej berpatutan bagi kategori yang disasar iaitu melibatkan kira-kira 200,000 rider kita.

"Pakej P-Hailing RAHMAH ini sudah pasti akan meningkatkan keterhubungan digital penunggang p-hailing dan membolehkan mereka mengakses maklumat yang mereka perlukan semasa melaksanakan tugas," katanya di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.

Fahmi berkata memandangkan pertumbuhan sektor gig ekonomi bertumbuh dengan pesat lanjutan tempoh langganan juga akan dipertimbangkan selepas melihat prestasi pelanggan.

"Tapi sekiranya ada keperluan dilanjutkan, saya tak fikir ia jadi satu perkara yang mustahil untuk dilanjutkan. Saya rasa tempoh satu tahun adalah standard. Selepas setahun mungkin ada pekej yang bersifat Rahmah lagi selepas itu," katanya.

Semalam, Fahmi berkata Kerajaan MADANI mendengar keluhan kumpulan pekerja penghantar makanan dalam menjalankan tugas mereka setiap hari.

Katanya, kerajaan sentiasa memberi sokongan dan tumpuan kepada ekonomi gig menerusi p-hailing sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu.

GRACE AISYAH KEDAYAN