fb fb fb fb fb

2.69 juta rakyat Malaysia sudah daftar PADU

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

BACHOK, 7 Februari- Seramai 2.69 juta rakyat Malaysia sudah melakukan proses kemas kini maklumat dalam dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sehingga semalam.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia dijangka akan meningkat kepada 3 juta tidak lama lagi sejak sejak PADU dilancarkan pada 2 Januari lalu.

Beliau berkata daripada angka itu, Kelantan mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 15 peratus dengan seramai 191,078 penduduk telah mengemas kini maklumat  diikuti Sarawak.

Katanya, sistem PADU sudah merekodkan 30 juta nama penduduk namun hanya memerlukan pengesahan dan kemas kini maklumat yang perlu dibuat sehingga 31 Mac ini. 

Ujarnya, rakyat kini sudah mula meyakini sistem PADU berbanding diawal pelaksanaan dimana rakyat mempersoalkan beberapa isu kawalan data peribadi.

“Pendaftaran PADU akan dibuka sehingga 31 Mac depan, berdasarkan gerak kerja yang dilaksanakan kami yakin dalam tempoh sebulan lebih ini, tahap kesedaran mengenai PADU semakin tinggi dan pendaftaran akan terus meningkat.

“Saya melihat bila angka pendaftaran semakin meninggi orang yang berdaftar itu akan memberi penerangan kepada yang lain sebab mereka akan saling bertanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program lawatan di Pusat Ekonomi Digital (PEDI) Mahligai, Bachok  hari ini.

Dalam perkembangan sama, pihaknya juga turut menubuhkan pasukan khas bagi membantu warga emas, Orang Asli, penduduk pedalaman serta penghuni rumah orang tua untuk membuat kemas kini maklumat masing-masing.

"Sebanyak 911 PEDI seluruh negara turut menyediakan perkhidmatan membantu penduduk membuat kemas kini PADU. 

"Kerjasama turut dibuat bersama agensi kerajaan dan negeri, 28 ibu pejabat DOSM dan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN),"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE