fb fb fb fb fb

2,674 insiden siber dilaporkan NACSA, setakat Oktober 2023

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 24 November- Sebanyak 2,674 insiden siber dilaporkan kepada Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4), NACSA setakat Oktober tahun ini.

Dalam usaha melonjakkan kemajuan ekonomi digital, negara perlu bersedia berdepan cabaran jenayah siber dan ancaman keselamatan siber.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kebergantungan tinggi kepada ruang siber berikutan perkembangan pesat teknologi dan aplikasi digital serta penggunaan peranti dan teknologi digital yang semakin meluas, menyaksikan serangan siber kini semakin dinamik dan kompleks.

"Ruang maya merupakan domain baharu keselamatan dan geopolitik negara. Pelaku negara ataupun bukan negara (state and non-state actors) menggunakan pelbagai mekanisme untuk melemahkan keselamatan negara tanpa perlu menyerang secara fizikal dan hanya melalui serangan maya sahaja."

"Penjenayah siber ini sentiasa berusaha mencari ruang, mengeksploit setiap kelemahan sistem, aplikasi atau pun teknologi untuk mencapai kepentingan dan memperoleh keuntungan," kata Datuk Seri Mohamad dalam ucapannya yang mewakili Perdana Menteri merasmikan program Pembangunan Kapasiti dan Dialog Awam Rang Undang-Undang Keselamatan Siber di Institut Antarabangsa Pemikiran Tamadun Islam dan Alam Melayu (ISTAC-IIUM), di ibu negara.

Tambahnya, sasaran utama penjenayah siber meliputi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) seperti grid bekalan elektrik, infrastruktur internet dan sistem perbankan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM