KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Seramai 2,202 peserta berusia 13 hingga 17 tahun menyertai Program Bermalam di Muzium Perdana 2024, yang dianjurkan Kementerian Perpaduan menerusi Jabatan Muzium Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata program dua hari satu malam itu melibatkan 33 muzium di seluruh negara.
"Penganjuran program ini bertujuan menyuburkan semangat patriotik dan apresiasi generasi muda terhadap warisan sejarah, seni dan budaya melalui aktiviti permuziuman dan memupuk apresiasi generasi muda terhadap warisan negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Program Citra Nusa @Muzium: Bermalam di Muzium Perdana, di sini.
Program itu juga mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan penglibatan peserta melukis poster patriotik paling ramai.
Pada majlis yang sama, turut dilancarkan MAG in Your Pocket, satu strategi digital oleh Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia yang menawarkan pembelajaran mudah alih tanpa batas.