IPOH, 30 Mac –Sebanyak 2,040 kes kemalangan dicatatkan pada hari pertama Ops Selamat 24 sempena Aidilfitri yang bermula semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata jumlah itu meningkat 16 peratus berbanding 1,758 kes yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, kes kemalangan maut menurun kepada tujuh kes berbanding 21 kes pada tahun sebelumnya.
"Mengikut kategori jalan, lebuh raya, Jalan Persekutuan dan Jalan Bandaran menunjukkan peningkatan jumlah kemalangan. Ia disebabkan oleh pertambahan kenderaan yang menuju ke kampung halaman bagi musim perayaan ini.
"Selain itu, pergerakan kenderaan juga meningkat di kawasan pusat bandar di seluruh negara kerana masyarakat keluar membeli-belah sebelum sambutan Aidilfitri," katanya selepas menghadiri Program Advokasi Op Selamat 24/2025 sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Plaza Tol Ipoh Utara (Jelapang), di sini.
Selain itu, sebanyak 8,841 saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya, menunjukkan peningkatan 16 peratus berbanding 7,308 saman dalam tempoh sama tahun lalu.
Sepanjang Ops Selamat 24, pasukan khas Emergency Response Team (ERT) ditempatkan di 13 lokasi utama yang melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak bagi memastikan kelancaran trafik serta memberikan bantuan kecemasan jika diperlukan.