fb fb fb fb fb

19 buah sekolah terjejas akibat banjir di Kedah

FOTO RTM

JITRA, 4 Disember- Sebanyak 19 buah sekolah rendah dan menengah di Kedah terjejas dalam kejadian banjir yang melanda negeri itu sejak 26 November lalu.
 
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman berkata, selain ditenggelami banjir, terdapat beberapa buah sekolah mengalami kerosakan teruk melibatkan peralatan dan kemudahan di sekolah.
 
Menurut Ismail, jumlah sebenar kerugian akibat kejadian banjir hanya dapat dilakukan selepas kesemua sekolah terlibat bebas sepenuhnya daripada ditenggelami air.
 
"Pihak JPN Kedah akan buat penilaian kerosakan dan keperluan-keperluan yang diperlukan oleh setiap sekolah khususnya seperti perabot, kerusi meja, almari, peralatan, buku, alat bantuan mengajar dan sebagainya.

"Kita akan buat penilaian dan kita akan menghantar permohonan ini kepada KPM dan insya-Allah tindakan segera yang akan dilakukan oleh KPM untuk menurunkan sebahagian bajet yang kita mohon untuk baiki segala kerosakan dan penggantian kepada kerosakan di semua sekolah yang terkesan banjir di Kedah insya-Allah," katanya.

Beliau bercakap kepada RTM selepas menyertai sukarelawan JPN Kedah membersihkan kawasan Sekolah Kebangsaan Seri Banai yang terjejas teruk akibat banjir di Jitra.
 
Seramai 160 sukarelawan JPN Kedah bersama-sama Universiti Utara Malaysia, UUM dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) melakukan kerja-kerja membersihkan peralatan dan kawasan sekitar sekolah yang dipenuhi lumpur.
 
Jelas Ismail, sehingga hari ini sebanyak empat buah sekolah yang sedang dan telah dibersihkan oleh para sukarelawan.
 
Manakala baki 14 sekolah lagi akan dibersihkan secara berperingkat-peringkat selepas air surut.

 


0412 SEKOLAH ROSAK KEDAH Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE