
KUALA LUMPUR, 19 Februari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan 1,898 siri program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negara sepanjang Ramadan.
- 1,898 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dianjurkan di seluruh negara sepanjang Ramadan untuk meringankan kos sara hidup.
- PJRM menyediakan barangan basah dan kering penting untuk berbuka serta persiapan Aidilfitri pada harga lebih murah.
- KPDN berterima kasih kepada kerajaan atas peruntukan khas yang menginstitusikan PJRM sebagai inisiatif menangani kos sara hidup.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata semua PJRM menawarkan barangan basah dan kering yang menjadi keperluan berbuka puasa termasuk untuk membuat kuih.
Beliau menerusi hantaran Facebook hari ini memaklumkan PJRM antara intervensi kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan menyantuni keperluan komuniti khususnya golongan memerlukan termasuk dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Perbelanjaan pastinya akan bertambah maka program seperti PJRM amat penting sebagai pilihan mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.
“KPDN amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan yang telah meluluskan peruntukan khusus sejak beberapa tahun ini untuk menginstitusikan PJRM sebagai antara inisiatif menangani kos sara hidup,” katanya.
Datuk Armizan turut berkongsi aktiviti turun padang meninjau operasi sebuah pasar raya di Pandan Indah, Selangor yang melaksanakan PJRM.
Dalam tinjauan itu, Datuk Armizan berkata pengurus pasar raya memaklumkan sejak aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak dilaksanakan, premis tersebut berjaya mendapatkan sumber bekalan lebih banyak berbanding dahulu termasuk 20,400 peket minyak masak pada Januari lepas.