
KUALA LUMPUR, 11 Januari – Seramai 1,821 pelajar tingkatan lima daripada 10 sekolah menengah di Parlimen Bandar Tun Razak menerima bantuan persekolahan termasuk wang tunai RM100.
- Pemberian bantuan RM100 kepada 1,821 pelajar Tingkatan 5 dari 10 sekolah di Parlimen Bandar Tun Razak.
- Wan Azizah tekankan sokongan moral, usaha, disiplin dan hormat guru serta ibu bapa bagi persediaan menghadapi SPM.
- Penerima gembira; bantuan digunakan untuk peralatan, buku rujukan dan meringankan beban keluarga.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata program berkenaan bukan sekadar penyampaian bantuan persekolahan, sebaliknya satu bentuk sokongan moral bagi memastikan pelajar lebih bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi dalam menghadapi cabaran akademik, khususnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Buat sebaik mungkin untuk SPM. Belajar rajin-rajin dan jaga jati diri. Bukan sahaja pandai dalam pelajaran, tetapi mesti mempunyai akhlak yang mulia dan hati yang baik.
“Teruskan usaha kerana kamu semua adalah harapan bukan sahaja ibu bapa dan keluarga, tetapi juga harapan bangsa dan negara,” katanya ketika berucap pada Program Ceria Pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Harian Parlimen Bandar Tun Razak 2026 di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak turut menyeru para pelajar agar berusaha menjadi insan terbaik, bukan sahaja demi kejayaan duniawi, malah kebahagiaan di akhirat.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah menegaskan bahawa kejayaan tidak datang secara percuma, sebaliknya menuntut usaha berterusan, ketekunan dan disiplin, selain menghormati guru serta ibu bapa.
“Setiap orang akan melalui ujian hidup masing-masing. Hadapilah dengan kekuatan dalaman dan teruskan hidup sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Selatan, Nuraisyah Amani Jumairi melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterimanya, yang disifatkan mampu meringankan beban perbelanjaan persekolahan.
“Bantuan ini memudahkan kami mendapatkan peralatan sekolah yang diperlukan,” katanya.
Bagi pelajar SMK Desa Petaling, Jesveena Rai Manivannan berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk membeli barangan persekolahan yang masih belum diperoleh.
“Saya akan gunakan bantuan ini untuk membeli peralatan sekolah dan membantu ibu bapa saya,” katanya.
Sementara itu, pelajar SMK Orkid Desa, Tan Wen-Yi menzahirkan rasa gembira terpilih sebagai penerima bantuan dan berazam untuk berusaha bersungguh-sungguh menghadapi SPM tahun ini.
“Saya sangat bersyukur kerana bantuan ini dapat membantu membeli buku rujukan dan bahan pembelajaran yang kini semakin mahal,” katanya.
Antara sekolah yang terlibat ialah SMK Orkid Desa, SMK Seri Mulia, SMK Sungai Besi, SMK Permaisuri, SMK Sri Tasik, SMK Desa Petaling, SMK Bandar Tun Razak, SMK Alam Damai dan SMK Cheras.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.