
AYER KEROH, 1 April – Sebanyak 1,800 kes tangkapan haiwan berbisa terutama ular direkodkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka dari Januari hingga Mac tahun ini.
- Cuaca panas dan kering menyebabkan haiwan berbisa keluar dari habitat asal, meningkatkan risiko pertemuan.
- Orang ramai diminta berhati-hati ketika bekerja di rumah, dusun atau kebun; jangan alihkan barang lama dengan tangan kosong.
- Pengarah APM Melaka menyampaikan nasihat itu pada Majlis Himpunan Setia dan sambutan ulang tahun APM ke-74; penghargaan disampaikan.
Pengarah APM Melaka Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, ia disebabkan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.
“Memandangkan haiwan berbisa sekarang banyak keluar dari habitat asal akibat cuaca panas. Kita perlu sentiasa berhati-hati.
“Sama ada ingin melakukan kerja di rumah, di dusun atau di kebun, terutama ketika hendak mengalihkan barang lama yang terbiar, pastikan langkah keselamatan diambil. Jangan angkat dengan tangan kosong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Himpunan Setia dan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-74 APM Melaka di sini.
Pada majlis berkenaan, seramai 70 pegawai dan anggota APM Melaka serta orang awam menerima Sijil Penghargaan Bulanan dan Pingat Pertahanan Awam.