fb fb fb fb fb

180,0000 rakyat Perlis terima manfaat daripada 174 Program Jualan Rahmah

FOTO KPDN PERLIS

KANGAR, 14 Disember- Sebanyak 174 Program Jualan Rahmah telah dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis sehingga kini memberi manfaat kepada lebih 180,000 rakyat negeri itu.

Daripada keseluruhan penganjuran Program Jualan Rahmah , 117 daripadanya menerusi Jualan Rahmah Bergerak, manakala selebihnya di premis-premis perniagaan di kesemua 15 kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh negeri.

Menurut Pengarah KPDN Negeri, Norazah Jaapar, nilai jualan keseluruhan yang direkodkan dalam kesemua siri Jualan Rahmah sehingga kini mencecah RM3.290 juta.

Beliau berkata, inisiatif Jualan Rahmah yang dilaksanakan setiap minggu di lokasi terpilih dilihat menjadi pilihan utama rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan keperluan harian pada harga lebih murah dan berpatutan sekali gus meningkatkan penjimatan perbelanjaan harian mereka.

"Berbanding pelaksanaan di premis perniagaan terpilih, program Jualan Rahmah Bergerak menerusi pendekatan 'Kedai Cari Rakyat' kini dilihat lebih mendapat tumpuan berikutan berhampiran lokasi penempatan penduduk.

"KPDN Perlis sentiasa komited untuk menambah baik inisiatif Program Jualan Rahmah sebagai usaha memastikan manfaatnya terus dinikmati golongan sasar termasuklah bakal memperkenalkan Pasar Rahmah bermula Januari 2024,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE