JOHOR BAHRU, 28 Januari - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menghantar pulang 179 tahanan warga asing ke negara asal mereka, sepanjang minggu ini setelah mereka selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Johor dalam satu kenyataan berkata, penghantaran pulang dilakukan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) I dan II, serta Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru.
"Warga asing terlibat merupakan 107 tahanan warga Myanmar, 45 orang warga Bangladesh, 11 orang warga Indonesia, lapan orang warga Nepal, lima orang warga India, dua orang warga Vietnam dan seorang warga Sudan," menurut kenyataan itu.
Kesemua mereka telah dikeluarkan dokumen perjalanan sementara untuk pulang ke negara asal oleh kedutaan negara masing-masing.
Mereka juga disenarai hitam dalam sistem JIM dan tidak dibenarkan memasuki semula negara ini mengikut tempoh ditetapkan.
Kos tiket penerbangan, ditanggung sepenuhnya wang simpanan mereka dan sumbangan daripada ahli keluarga.