
KUALA LUMPUR, 12 Januari – Sebanyak 1,783 unit komputer riba akan dibekalkan kepada guru dan Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi menyokong pembelajaran digital di sekolah sekitar Kuala Lumpur. Inisiatif itu adalah selaras dengan agenda pendigitalan dan membuka ruang kepada transformasi pendidikan.
- 1,783 komputer riba dibekalkan kepada guru dan IPG untuk menyokong pembelajaran digital di sekolah sekitar Kuala Lumpur.
- 59 sekolah terima set makmal komputer lengkap dan peluasan DELIMa 3.0 berasaskan AI bagi pembelajaran pintar dan berfokus murid.
- Penambahan 11 kelas prasekolah dan program PPKI, serta peruntukan kira-kira RM4.4 juta untuk baik pulih dan pendidikan sekolah.
Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Megat Affandi Datuk Wira Haji Ismail berkata, 59 buah sekolah juga akan menerima set lengkap makmal komputer serta peluasan DELIMa 3.0 berasaskan kecerdasan buatan (AI), bagi menyokong pembelajaran pintar, berdata dan berfokus kepada keperluan murid.
“Dalam usaha memperkasa pembelajaran digital, sebanyak 1,783 unit komputer riba akan dibekalkan kepada guru dan IPG. Ini termasuk peluasan DELIMa 3.0 dan set makmal komputer di 59 buah sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program 1st Day At School peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah.
Selain itu, JPWPKL turut menekankan pendidikan awal kanak-kanak dengan penambahan 11 buah kelas prasekolah baharu, membolehkan lebih ramai anak-anak memperoleh peluang pendidikan yang saksama dan berkualiti.
“Seramai 4,279 murid prasekolah di 130 sekolah dan 202 kelas, termasuk 11 kelas baharu, terlibat. Tiga program pendidikan khas integrasi PPKI turut dibuka, selain peruntukan kira-kira RM4.4 juta untuk kerja-kerja pembaikan dan pendidikan sekolah,” tambah beliau.
Dalam pada itu, tinjauan di SMK Raja Abdullah mendapati operasi pembukaan sekolah bagi sesi akademik 2026 berjalan lancar dan teratur. Lebih 500 pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5 hadir pada sesi pagi ini.
Antara aktiviti utama ialah Program 1st Day At School, inisiatif tahunan yang dijalankan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Program ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan sekolah serta memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Ia juga membina hubungan mesra dan kerjasama kukuh antara warga sekolah dan pihak berkuasa bagi mengekang salah laku murid.
Para guru bersiap sejak awal pagi untuk menyambut pelajar, termasuk aspek kawalan lalu lintas dan pematuhan disiplin. Pelajar diberikan taklimat sebelum memulakan sesi pembelajaran.
Hadir sama menyambut pelajar pada pagi ini ialah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.