fb fb fb fb fb

17 sekolah baharu akan dibuka atasi kesesakan murid

Fadhlina Sidek ketika mengadakan lawatan ke SK Taman Pelangi Semenyih bagi meninjau pembukaan sesi persekolahan penggal pertama 2025/2026 hari ini/KPM

SEMENYIH, 17 Februari- Sebanyak 17 sekolah baharu akan dibuka di seluruh negara tahun ini bagi mengatasi masalah kesesakan di sekolah sedia ada, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Selain itu, langkah intervensi seperti pembinaan kabin tambahan dan pelaksanaan dua sesi persekolahan turut diperkenalkan bagi mengoptimumkan ruang serta kemudahan sedia ada.

"Intervensi kita pelbagai termasuk pembinaan kabin kelas untuk mengatasi isu ketidakselesaan. Penguraian (pengagihan) murid ke sekolah lain juga memerlukan komitmen ibu bapa, selain pelaksanaan dua sesi bagi sekolah tertentu.

"Keseluruhannya, pendekatan ini dapat menyelesaikan masalah sementara menunggu pembinaan sekolah baharu yang lebih kondusif," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih di sini bagi meninjau pembukaan sesi persekolahan penggal pertama 2025/2026 hari ini.

Menurutnya, di Selangor sahaja, sebanyak 95 sekolah menerima tambahan kabin kelas melibatkan 31 bilik darjah dengan peruntukan kira-kira RM69 juta.

SITI AISHAH MD ISA