BALIK PULAU, 24 Oktober - Sebanyak 17 kejadian runtuhan tanah berlaku di sepanjang Jalan Tun Sardon, Balik Pulau sejak beberapa hari lalu.
Antaranya melibatkan kejadian pokok tumbang serta dua bongkah batu bersaiz kira-kira empat kaki yang jatuh di kilometer 1.05, manakala tanah runtuh turut berlaku di kilometer 4.05.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang memfokuskan kerja-kerja pembersihan di sepanjang laluan tersebut sebelum tindakan mitigasi selanjutnya diambil.
Ini kerana masih berlaku pergerakan tanah di kawasan tersebut.
"Dan pelbagai insidenlah yang termasuk runtuhan cerun, pokok tumbang, juga runtuhan batulah dan juga mendapan jalan.
"Siasatan awal mengesahkan bahawa faktor runtuhan dan kegagalan cerun adalah disebabkan oleh hujan lebat dan angin kuat yang berterusan.
"Siasatan secara terperinci akan dilakukan selepas kerja-kerja pembersihan. Jadi tindakan yang diutamakan sekarang ini adalah kerja-kerja pembersihanlah yang sedang berlangsung," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau kawasan insiden kegagalan cerun dan tanah runtuh di Jalan Tun Sardon di sini.
Hadir sama, Pengarah JKR Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Nadzri Abdul Majid.
Selain jalan berkenaan, JKR turut merekodkan dua kes baharu tanah runtuh tidak kritikal sejak semalam, masing-masing di Residensi 2, Teluk Kumbar dan Bukit Belah berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Batu.
Terdahulu, sebahagian laluan di jalan tersebut ditutup sementara selepas kejadian tanah runtuh berhampiran kawasan Anjung Indah yang berlaku kira-kira pukul 5.00 petang.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Susulan kejadian berkenaan, JKR Pulau Pinang mengeluarkan arahan penutupan sepenuhnya laluan P14 Jalan Tun Sardon bermula pukul 6.00 petang semalam hingga 6.00 petang esok.