fb fb fb fb fb

169 terminal bas di Semenanjung, wajib mohon lesen terminal APAD untuk beroperasi - Anthony

Foto BERNAMA

SEPANG, 1 April- Semua 169 terminal bas di semenanjung, sama ada di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau milik persendirian, wajib memohon lesen terminal Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk beroperasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyatakan pelesenan terminal itu bagi kawal selia untuk memastikan kemudahan, keselamatan dan tahap perkhidmatan terminal, terbaik kepada pengguna.

Beliau berkata pengendali terminal boleh memohon lesen itu bermula 22 April menerusi sistem pelesenan dalam talian iSPKP APAD.

"Ini akan diwartakan dan kita akan proses permohonan mereka. Jadi, saya berharap lebih banyak pihak swasta akan menaik taraf terminal-terminal mereka supaya pengangkutan awam ini akan menjadi satu kemudahan yang lebih baik kepada rakyat dan kepada penumpang-penumpang," kata Anthony kepada pemberita selepas pelancaran Hab Pengangkutan Dinaik Taraf di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, sebelum ini kerajaan telah mewartakan Peraturan-Peraturan Pengangkutan Awam Darat (Perlesenan Terminal) (Stesen dan Pusat Pengangkutan) 2024 pada 5 Feb lepas.

Di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk menguatkuasakan pelesenan terminal bagi memastikan operasi terminal terbabit dapat dikawal selia.

Loke berkata APAD turut memperkenalkan penarafan gred A, B atau C untuk menentukan sama ada tahap perkhidmatan itu sepadan dengan caj maksimum yang dikenakan oleh terminal itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM