16,300 kanak-kanak mulakan persekolahan KEMAS di Kelantan

FOTO RTM

PASIR MAS, 11 Januari – Hari pertama sesi persekolahan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh Kelantan berlangsung dalam suasana ceria dan terkawal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus minggu pertama: bina hubungan antara pendidik dan kanak-kanak untuk membantu proses penyesuaian awal.
  • Program SALAM dilaksanakan sebulan pertama untuk membentuk sahsiah dan perkembangan holistik kanak-kanak.
  • Cabaran termasuk permintaan tinggi dan kelas sesak hingga 45 murid, memerlukan kerjasama ibu bapa dan sokongan berterusan.

Pengarah KEMAS Kelantan, Wan Norlee Wan Ismail berkata sebanyak 731 TABIKA KEMAS, sebuah TABIKA KEMAS Tunas Istimewa dan 38 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) memulakan operasi melibatkan kira-kira 16,300 kanak-kanak di seluruh negeri, tahun ini.

“Kehadiran murid pada hari pertama persekolahan adalah memberangsangkan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak baharu yang pertama kali mengikuti pendidikan awal kanak-kanak,” katanya selepas meninjau hari pertama persekolahan di TABIKA KEMAS Nuriman 1 dan 2 serta TABIKA KEMAS Sri Bayu, Pasir Mas, pagi ini.

Wan Norlee berkata, pada minggu pertama persekolahan, fokus utama KEMAS adalah untuk membina hubungan antara Pendidik Masyarakat dan kanak-kanak bagi membantu proses penyesuaian awal.

Tambah beliau, dalam tempoh sebulan pertama persekolahan, KEMAS turut melaksanakan Program SALAM (Sahsiah Lambang Modal Insan Unggul) bagi membentuk sahsiah diri kanak-kanak sepanjang fasa transisi, di samping melahirkan murid yang ceria, cergas dan cerdik.

Bagaimanapun, beberapa cabaran kecil dikenal pasti, antaranya permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat setempat serta bilangan kanak-kanak yang ramai sehingga terdapat kelas mencecah 45 orang murid.

Malah terdapat juga ibu bapa yang menghantar anak secara ‘walk in’ (jumpa terus), namun terpaksa ditolak berikutan kapasiti kelas yang telah penuh.

Sehubungan itu, pihak KEMAS Kelantan berharap ibu bapa terus memberikan sokongan padu serta bekerjasama dengan pihak tabika bagi memastikan perkembangan holistik kanak-kanak.

Usaha berterusan ini diharap dapat memastikan pendidikan awal kanak-kanak terus diperkasa demi masa depan yang lebih terjamin.