16 kenderaan disita, ditunda – MPSPK

Operasi Tunda Kenderaan yang dilakukan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK)

SUNGAI PETANI, 1 April – Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) menunda dan menyita 16 kenderaan yang tersadai dalam tempoh lama yang menghalang lalu lintas dan mencacatkan pemandangan kawasan sekitar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi tunda kenderaan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang untuk menangani isu kenderaan buruk, rosak dan tersadai di kawasan perumahan.
  • Operasi dijalankan secara sistematik oleh anggota penguat kuasa menggunakan lori pemuat, trak tunda dan van bagi proses selamat dan efisien.
  • Operasi tertumpu di beberapa kawasan strategik dan MPSPK menyeru orang awam agar tidak meninggalkan kenderaan rosak di tempat awam.

MPSPK dalam kenyataan memaklumkan, ia hasil Operasi Tunda Kenderaan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada bagi menangani isu kenderaan buruk, rosak, dan tersadai yang ditinggalkan di kawasan perumahan.

“Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan kelancaran lalu lintas, keselamatan awam, serta pemeliharaan imej persekitaran kawasan perumahan di Sungai Petani.

“Kenderaan-kenderaan yang dibiarkan tanpa bergerak telah memberi kesan negatif terhadap imej dan estetika kawasan perumahan,” menurut kenyataan itu.

Operasi dijalankan secara sistematik oleh anggota penguat kuasa dengan menggunakan kemudahan lori pemuat, trak tunda dan sebuah van bagi memastikan
proses penundaan kenderaan dapat dilaksanakan dengan selamat dan efisien.

Operasi tertumpu di beberapa kawasan strategik yang dikenal pasti mempunyai kenderaan tersadai dalam tempoh yang lama antaranya Taipan Square, Taman Ria Jaya, Taman Ria, Taman Keladi, Taman Seraya dan Taman Seroja.

MPSPK juga menyeru orang awam agar tidak meninggalkan kenderaan rosak atau tersadai di tempat awam, khususnya di kawasan perumahan bagi mengelak sebarang kesulitan.