fb fb fb fb fb

158 PATI tanpa dokumen sah ditahan di Ipoh

Mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa.

IPOH, 16 Mac- Seramai 158 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan menerusi Ops Pintu di Rumah Pangsa Bercham di Ipoh, Perak awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen Negeri, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 93 lelaki, 54 wanita dan 11 kanak-kanak; berumur antara setahun hingga 60 tahun.

"Mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa.

"Penahanan melibatkan warga Indonesia, Bangladesh, China, Pakistan, Nepal, India, Sri Lanka, Myanmar dan Vietnam.

"Tangkapan kemudian dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Meru Raya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi tersebut yang disertai lebih 157 anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta.

Beliau turut mengingatkan pemilik kediaman warga tempatan yang didapati menyewakan rumah mereka kepada PATI boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 55E akta sama.

"Ini kita akan laksanakan siasatan lanjut, jika terbukti berlaku kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

"Nasihat kepada pemilik premis, sekiranya nak bagi kebenaran kepada warga asing menduduki atau mendiami premis masing-masing, pastikan warga asing tersebut memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Tambahnya, serbuan di 358 unit kediaman di 15 blok rumah pangsa tersebut hasil aduan diterima daripada orang awam.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM