
KUALA LUMPUR, 27 Januari -Sebanyak 1,131 program advokasi berkaitan keganasan rumah tangga telah dilaksanakan sepanjang tahun lepas, melibatkan 154,241 peserta di seluruh negara.
- Pendekatan menyeluruh dilaksanakan bersama agensi dan masyarakat untuk tangani keganasan rumah tangga secara efektif.
- Kempen EVAW dan inisiatif Santuni Kasih@KRT dijalankan di peringkat negeri untuk tingkatkan kesedaran masyarakat.
- Penubuhan Skuad Waja memperkasakan komuniti melalui bimbingan psikososial dan aktiviti kesedaran jenayah serta keganasan.
- Program advokasi dijalankan di institusi dan sekolah, mencapai lebih 300 sekolah setahun.
Program diadakan sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) yang disambut setiap 25 November.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pendekatan menyeluruh dijalankan dengan kerjasama strategik pelbagai agensi serta lapisan masyarakat bagi memastikan isu ini ditangani secara efektif.
“Di samping itu, kempen EVAW turut dilaksanakan di peringkat negeri melalui inisiatif Santuni Kasih@KRT sebagai usaha menyeluruh untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung isu keganasan terhadap wanita. Sebanyak 126 program ini telah dilaksanakan pada tahun 2025 dengan penyertaan lebih 80,000 orang peserta di seluruh negara,” katanya dalam sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Nancy turut memaklumkan, Skuad Waja ditubuhkan bagi memperkasakan komuniti melalui program bimbingan psikososial serta aktiviti yang meningkatkan kesedaran tentang isu jenayah dan keganasan terhadap wanita.
Ia termasuk mengadakan program advokasi di institusi dan sekolah, yang sehingga kini telah dilaksanakan di lebih 300 sekolah setahun.