
BACHOK, 1 Mac – Seramai 1,500 individu atau 25 peratus daripada hampir 6,000 penagih yang kini menjalani rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) seluruh negara tampil secara sukarela untuk mendapatkan bantuan pemulihan.
- Pindaan Akta 2024 menghapuskan pengkriminalan penagih yang tampil sukarela, galakkan mereka dapatkan rawatan tanpa stigma.
- 1,500 penagih tampil sukarela di PUSPEN, manakala hampir 6,000 dirawat di institusi dan 50,000 menjalani pemulihan komuniti.
- Kadar keberkesanan program AADK hampir 80% melalui modul rawatan holistik menekankan psikologi, sosial, biologi dan kerohanian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkembangan itu susulan pindaan Akta Penagih dan Penyalahguna Dadah dan Bahan 1983 pada 2024 yang memberi pendekatan lebih inklusif dan tidak lagi mengkriminalkan penagih yang tampil secara sukarela.
Menurut beliau, di bawah pindaan berkenaan, individu yang memasuki PUSPEN secara sukarela tidak akan direkodkan sebagai mempunyai rekod jenayah.
“Objektif kita apabila meminda akta dan melaksanakan pendekatan dekriminalisasi adalah untuk menarik dan mendorong mereka tampil tanpa rasa takut terhadap stigma melakukan jenayah.
“Kita ada dua kaedah rawatan, sebahagian klien ditempatkan dalam institusi dan sebahagian lagi dalam komuniti, dan jumlah yang ditempatkan dalam komuniti jauh lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Bersahur sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Bachok.
Ketika ini, terdapat 30 PUSPEN di seluruh negara yang menempatkan hampir 6,000 penagih, manakala lebih 50,000 individu lagi menjalani program pemulihan dalam komuniti.
Pada masa sama, Saifuddin Nasution memaklumkan kadar keberkesanan program pemulihan yang dikendalikan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kini mencecah hampir 80 peratus.
Menurutnya, pencapaian itu didorong oleh pelaksanaan modul rawatan holistik yang memberi penekanan terhadap aspek psikologi, sosial, biologi serta kerohanian bagi memastikan proses pemulihan lebih menyeluruh dan berkesan.