fb fb fb fb fb

15 kes strok haba direkodkan di seluruh negara

Foto hiasan

KUALA NERUS, 9 Mac- Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 15 kes strok haba akibat cuaca panas setakat semalam, masing-masing tujuh kes di Perak dan Kedah, serta satu kes di Sabah.

Ia melibatkan 12 dewasa dan tiga remaja.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, daripada 15 kes yang direkodkan, empat kes adalah strok haba, manakala 11 kes kelesuan haba.

"Memang terkawal, kita telah keluarkan beberapa nasihat kepada orang awam untuk mengelakkan daripada terdedah kepada cuaca panas, memakai pakaian yang sesuai, gunakan payung. Golongan berisiko mudah untuk dapat masalah haba ini," katanya kepada pemberita dalam Majlis perasmian Wellness Hub Terengganu yang disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di sini.
 
Sementara itu, semua kes berkaitan strok haba yang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar telah sembuh kecuali satu kes yang dilaporkan pada 26 Februari lalu masih dirawat di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah.

Bagaimanapun jumlah kes strok haba masih lagi terkawal dan mampu ditampung fasiliti kesihatan di seluruh negara.

KKM turut menasihatkan orang ramai supaya merancang aktiviti terutama ketika bulan Ramadhan untuk mengelakkan waktu puncak cuaca panas iaitu antara pukul 11.00 pagi hingga 4.00 petang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI