fb fb fb fb fb

15 Januari bermula transaksi tol RFID dari plaza tol Skudai ke Juru

KUALA LUMPUR, 13 Januari - Transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 10 malam pada 15 Januari ini.

Bagi pelaksanaan tersebut, semua 83 plaza tol di Lebuhraya Utara Selatan menyediakan sekurang-kurangnya 1 lorong RFID untuk membolehkan pelanggan lebuh raya melengkapkan transaksi tol mereka.

Ini bermakna, pelanggan kenderaan penumpang persendirian (Kelas 1) mempunyai lebih pilihan sama ada menggunakan kad Touch ‘n Go, SmartTAG atau RFID untuk membayar tol.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dalam satu kenyataannya, memaklumkan pelanggan RFID Touch ‘n Go yang telah menggunakan kaedah tersebut boleh menggunakan teknologi tersebut secara menyeluruh di lebuhraya PLUS.

Tambah beliau pelanggan kenderaan penumpang lebuh raya PLUS kini boleh beralih kepada RFID bagi menikmati pengalaman perjalanan tanpa sentuhan dan menggunakan transaksi e-Dompet.

"Pada ketika ini terdapat kira-kira 1.5 juta pelanggan lebuh raya yang menggunakan RFID Touch 'n Go untuk membayar tol di kebanyakan lebuh raya lain khususnya di Lembah Klang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pelekat RFID Touch ‘n Go dijual dengan harga RM35 di pusat pemasangan RFID yang sah di seluruh negara dan juga secara atas talian.

Kaedah semasa penggunaan kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan Smart Tag masih disediakan namun akan dihentikan secara berperingkat.

Media Baharu