KUALA TERENGGANU, 26 Mei - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyerbu dan menyita 147 kenderaan mikromobiliti di dua premis perniagaan berasingan di Kuala Terengganu, pada 23 Mei lalu.
Serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 11 pagi itu melibatkan nilai rampasan termasuk cukai lebih RM708,000.
Pengarah JKDM Terengganu, Mohd Nadzri Ariffin berkata serbuan dilakukan kerana disyaki memiliki barang larangan import iaitu kenderaan mikromobiliti seperti moped bike, basikal kuasa elektrik dan peranti mobiliti peribadi (PMD) kuasa elektrik.
Semakan awal terhadap dokumen pembelian dan pengimportan yang dikemukakan ketika serbuan juga mendapati terdapat syak yang munasabah bahawa kesemua kenderaan itu diseludup masuk ke dalam negara.
"Modus operandi pihak sindiket membawa masuk kenderaan mikromobiliti secara komponen tercerai ke dalam negara dengan melakukan ikrar palsu ketika proses pengimportan. Kompenan ini kemudiannya akan dilakukan pemasangan di gudang pihak sindiket sebelum diedarkan kepada penjual diseluruh negara," katanya pada sidang media, di sini.
Beliau berkata, pemilik perniagaan berusia 37 dan 39 tahun yang ditahan itu telah dilepaskan dengan jaminan JKDM.
Kes disiasat di bawah seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.