KUALA LUMPUR, 29 Julai - Seramai 147 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi dalam Pilihan Raya Umum DUN ke-15 (PRU DUN ke-15) pada 12 Ogos ini.
26 kerusi melibatkan saingan satu lawan satu.
Manakala tiga penjuru di 25 kerusi, empat penjuru pula, di lima kerusi DUN.
Tumpuan pasti terarah di DUN N16 Sungai Tua iaitu menyaksikan calon Harapan, Datuk Seri Amirudin Shari akan mempertahankan kerusi yang dimenangi sejak 2008.
Amirudin akan berdepan saingannya, calon PN, Muhammad Hanif Jamaluddin dan calon Bebas, Suman Gopal.
Turut menjadi perhatian, kerusi N18 Hulu Kelang yang bakal menyaksikan persaingan antara calon Harapan iaitu Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada PN.
(Datuk Seri Amirudin Shari akan mempertahankan kerusi bagi DUN N16 Sungai Tua)
N20 Lembah Jaya juga mencuri tumpuan dengan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet menentang calon PN, Sharifah Haslizah Syed Ariffin atau Cikgu Sharifah.
Hari pengundian bagi PRU DUN KE-15 enam negeri akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan.
PRU DUN ke-15 melibatkan 36 kerusi DUN Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).
PRU DUN ke-15 enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya negeri kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat.