KUALA LUMPUR, 12 September - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menempatkan 140 penyedia penyelesaian kecerdasan buatan (AI) dalam ekosistem Malaysia Digital (MD), menjana perolehan sebanyak RM1 bilion setakat Julai 2024.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata usaha itu menekankan pertumbuhan luas dan masa depan yang positif bagi sektor AI Malaysia.
“Pencapaian ini membuktikan peranan AI yang semakin penting di Malaysia, dalam transformasi ekonomi dan sudah tentu dalam pembangunan selepas ini.
“AI sedang membentuk semula landskap perniagaan, meliputi untuk meningkatkan produktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga melonjakkan kecekapan syarikat besar,” katanya ketika berucap melancarkan “Sidang Kemuncak Penggunaan Teknologi MDEC: Kecerdasan Buatan” di sini, pada Khamis.
Beliau berkata tiga sektor teratas dalam kalangan penyedia penyelesaian AI meliputi kesihatan digital, bandar digital dan pertanian.
Gobind berkata semua syarikat tempatan itu adalah syarikat yang diperakui MD.
“Saya berpandangan sangat penting untuk memahami bahawa teknologi AI juga boleh membantu kita dari segi untuk mengambil langkah pencegahan, langkah awal supaya kita dapat mengetahui jenis masalah yang akan berlaku.
“Kita dapat lihat penyelesaian berkaitan sektor kesihatan, pertanian...yang menunjukkan cara kita boleh membuat persediaan bagi masalah yang timbul,” katanya.
Mengenai pembentangan Belanjawan 2025, Gobind berkata kerajaan akan menumpukan usaha meningkatkan infrastruktur yang akan menyokong penggunaan AI terutama bagi PKS.
“Cadangan telah pun diketengahkan...setiap sektor ada masalah tertentu yang boleh diselesaikan dengan menggunakan teknologi khususnya AI.
“Perkara ini merentas semua kementerian tapi dari sudut pandang infrastruktur, kita boleh memberikan tumpuan kepada penggunaan dan sebagainya. Saya rasa perkara ini yang sudah diterajui oleh MDEC,” katanya. - BERNAMA