KANGAR, 11 Julai- Seramai 14 pelajar tahfiz dan aliran agama terpilih mengikuti projek rintis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar di sini.
Program selama tiga bulan itu melibatkan pelajar dari Maahad Tahfiz AlMasyhur, Al-Madrasah Addiniah Al-Islamiyah (MADI), Ma'ahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Maktab Pengajian Islam Kedah, dan lepasan kelas aliran agama dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Arau dan SMK Syed Sirajuddin.
Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dalam satu kenyataan berkata, program itu merupakan kerjasama dengan Institut Latihan Perindustrian Kangar, Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
"Program berkenaan merupakan projek rintis dan kampus ILP Kangar adalah institusi pertama yang menjalankan program itu bagi memperkenalkan program TVET kepada para huffaz di Malaysia terutamanya negeri Perlis.
"Peserta terpilih mengikuti program Teknologi Penyelenggaraan Mekanikal yang dikendalikan oleh tenaga pengajar di ILP Kangar," katanya.
Pelajar yang telah tamat program kemahiran bagi tempoh tiga bulan itu akan diberikan Sijil Modular (Micro-Credential) diperakui Jabatan Pembangunan Kemahiran yang mendapat permintaan tinggi tenaga kerja dalam industri.
Ia akan menjadi nilai tambah kepada pelajar tahfiz dan juga lepasan sekolah agama selain memberi peluang kepada mereka untuk bekerja dalam industri atau memberi nilai tambah boleh bekerja sendiri dengan kemahiran yang ada.