KUANTAN, 20 Julai-14 kawasan Parlimen di Pahang terlibat tayangan wayang pacak sempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, hari ini.
Tayangan tersebut berlangsung secara serentak di kesemua kawasan parlimen terlibat bagi memberi ruang kepada masyarakat setempat untuk menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Pahang, Zayana Zahira Mohd Isa, program tersebut dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Komuniti MADANI serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
"Pada hari ini Jabatan Penerangan Negeri Pahang telah menganjurkan beberapa siri tayangan wayang pacak yang kita rancangkan di 14 parlimen di Negeri Pahang yang mana hari ini seperti semua maklum adalah Istiadat yang di-Pertuan Agong yang ke-17.
"Jadi Jabatan Penerangan Negeri Pahang telah bekerjasama dengan Jabatan Penerangandi 11 daerah ini telah menganjurkan sesi tayangan khas wayang pacak bersama dengan masyarakat setempat untuk menyaksikan peristiwa bersejarah pada hari ini", katanya di sini.
Jelasnya, penganjuran wayang pacak itu bagi memberi pendedahan kepada masyarakat setempat mengenai peristiwa bersejarah disamping meningkatkan pengetahuan mereka berkaitan konsep Institusi Raja Berperlembagaan.
Selain wayang pacak, pelbagai program turut dianjurkan antaranya Jualan Rahmah Bergerak Madani dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang.