fb fb fb fb fb

13 kes berkaitan kartel tipuan bida sedang disiasat

Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 6 Februari- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini sedang menyiasat 13 kes berkaitan dakwaan kartel tipuan bida (bid rigging) melibatkan 561 perusahaan dengan tender mencecah RM2.3 billion.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia antara usaha suruhanjaya itu dalam memperkukuh penguatkuasaan terhadap aktiviti kartel.

"Ikhtiar mengekang aktiviti penipuan bida ini penting bagi memastikan ia tidak menggagalkan usaha kerajaan dalam memberikan keutamaan kepada kaedah tender dalam tadbir urus perolehan sejajar memperkukuh tadbir urus sistem penyampaian perkhidmatan awam.

"Tindakan telah diambil oleh kerajaan ke atas syarikat yang melaksanakan amalan antipersaingan mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem persaingan sihat dalam pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen berkenaan keberkesanan MyCC dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010.

Usaha tersebut juga mengekang penipuan dalam proses bidaan selain menambah baik tatakelola sistem penyampaian perkhidmatan awam

Antara sektor tender tipuan bida terlibat termasuk Perkhidmatan Utiliti, Pembinaan, Makanan dan Minuman serta Teknologi maklumat.

Sementara itu KPDN turut dalam proses meminda Akta Persaingan 2010 (Akta 712) bagi memperkukuh serta memperkemas proses penguatkuasaan. 

Armizan memaklumkan, draf pindaan tersebut telah diluluskan Pejabat Peguam Negara (AGC) dan kini berada di peringkat edaran kepada kementerian berkaitan untuk mendapatkan maklum balas.

"Sebagai contoh, sekiranya satu kes dibawa ke tribunal rayuan persaingan dan sekiranya MyCC gagal ke peringkat rayuan tersebut sebagaimana yang diputuskan diperingkat mahkamah. MyCC tidak boleh membuat rayuan.

"Tetapi pihak yang sebaliknya boleh membuat rayuan kepada peringkat mahkamah untuk semakan kehakiman. Jadi itu kompenan kita usaha untuk tambah baik," katanya ketika menjawab soalan tambahan.

Turut diperkenalkan ialah rejim kawalan ke atas penggabungan yang memberi impak persaingan.

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI