fb fb fb fb fb

13 'bayi merdeka' lahir di Pahang pada 31 Ogos

Dua kelahiran di Hospital Pekan pada hari ini

KUANTAN, 31 Ogos - Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67 menjadi lebih bermakna dengan kelahiran 13 'bayi merdeka' di hospital-hospital seluruh negeri Pahang sejak tengah malam hingga tengah hari tadi.

Daripada jumlah tersebut, sembilan bayi lelaki dan empat bayi perempuan selamat dilahirkan, dengan sembilan daripadanya melalui kelahiran normal dan empat lagi melalui pembedahan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman berkata, bayi-bayi ini dilahirkan dari pelbagai latar belakang kaum, termasuk 10 bayi Melayu, dua bayi India, dan seorang bayi Cina.

"Kesemua bayi dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan stabil, mencerminkan perpaduan dan kepelbagaian yang menjadi ciri utama negara ini.

"Bayi merdeka pertama Pahang dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, pada 12.25 pagi.

"Bayi lelaki seberat 2.84 kilogram ini adalah anak kelima kepada pasangan Melayu dari Kuantan, yang dilahirkan melalui kaedah bersalin secara normal," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi dengan enam bayi, diikuti HTAA dengan lima kelahiran, dan Hospital Pekan dengan dua kelahiran.

Beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada ibu bapa yang menyambut kelahiran anak mereka pada hari yang penuh bermakna ini.

"Semoga anak-anak ini terus sihat dan membesar menjadi insan yang menyumbang kepada kemakmuran negara," katanya, mengakhiri ucapannya dengan salam "Jiwa Merdeka" daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.

GRACE AISYAH KEDAYAN