fb fb fb fb fb

128 penghuni tirai besi sertai hafazan al-Quran

Majlis Ihtifal Kesenian Islam Perujian Menghafaz al-Quran dan Pertandingan Marhaban Peringkat Penghuni Jabatan Penjara Malaysia tahun 2024.

TAPAH, 4 Julai - Seramai 128 penghuni dari 26 institusi penjara seluruh negara telah menyertai Majlis Ihtifal Kesenian Islam Perujian Menghafaz al-Quran dan Pertandingan Marhaban Peringkat Penghuni Jabatan Penjara Malaysia tahun 2024.

Pertandingan diadakan bertujuan memberi peluang kepada prospek yang berada di penjara untuk menonjolkan bakat mereka khususnya dalam aktiviti berteraskan kerohanian dan kesenian Islam.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata, pertandingan tersebut mendapat sambutan baik dalam kalangan penghuni penjara seluruh negara.

"Sambutan peserta daripada institusi terlalu ramai dan penglibatan mereka meningkat dari semasa ke semasa dan diharapkan seperti yang saya cakap tadi bahwa mereka ini ada satu tahap yang boleh kita banggakan iaitu hafaz peringkat lebih tinggi lagi.

"Yang mana banyak institusi seperti di penjara Kluang kita ada sekolah hafaz yang dikelola oleh Majlis Agama Negeri Johor, jadi seperti ini yang kita harap di negeri-negeri lain dapat membantu, dapat terus menyokong usaha-usaha di negeri masing-masing, di majlis agama masing-masing," katanya.

Tambahnya lagi, program seumpama itu mampu memberi pengiktirafan kepada pegawai Kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pembantu guru agama dan pegawai pemulihan untuk menterjemah hasil ilmu dan latihan yang diterapkan kepada prospek sepanjang berada di penjara.

Sementara itu, prospek yang ditemui mengakui, penghayatan kepada al-Quran banyak mengubah kehidupan mereka lebih baik.

"Saya sedar apa yang saya buat dekat luar itu adalah salah, bila masuk dalam saya rasa macam okay (menyedari) rupanya benda (perbuatan) ini salah.

"Jadi dengan membaca Al-Quran ini dapat baiki cara hidup kita, pemikiran kita sebenarnya daripada pemikiran yang kotor kepada yang baik dan positif," kata Syafiqah (bukan nama sebenar).

"Kalau saya tengah hafal tu ada la kawan kacau-kacau sikit, tapi itu tidak menjadi alasan kepada saya, jadi saya akan tetap hantar kepada ustaz bacaan saya, 2 minggu sekali, memang semangat saya ada azam nak jadi macam ustaz-ustaz di luar sana" kata Faris (bukan nama sebenar).

GRACE AISYAH KEDAYAN