MELAKA, 8 November-Sebanyak 124 hospital di seluruh negara termasuk 51 hospital kerajaan berjaya mendapatkan pengiktirafan pensijilan penuh akreditasi dan memenuhi piawaian penilaian yang ditetapkan Malaysia Society for Quality In Health (MSQH) setakat Oktober lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MSQH, Datuk Dr Heric Corray berkata pihaknya memandang dua aspek penting iaitu perkhidmatan berkualiti dan keselamatan pesakit sebagai prasyarat untuk mendapatkan pensijilan tersebut.
Beliau turut berkata, pensijilan berkenaan bagi meningkatkan bilangan fasiliti penjagaan kesihatan berkualiti tinggi serta selamat.
" Setiap tahun itu mereka perlu menghantar laporan untuk tempoh 12 bulan pertama dan laporan 24 bulan.
"Dia hantar laporan tapi kita mungkin akan buat kajian secara mengejut dalam 26 minggu.
Jadi, kita tengok macam mana berdasarkan laporan kita akan buat keputusan sama nak buat kajian secara mengejut atau tidak", katanya demikian selepas Majlis Penyampaian Pensijilan Penuh Akreditasi MSQH kepada Hospital Putra Specialist Melaka yang disaksikan Exco Kesihatan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital Melaka, Mohd Zahiruddin Ahmad.
Sementara itu, di Melaka lima buah hospital kerajaan dan swasta telah menerima sijil Akreditasi MSQH.