fb fb fb fb fb

121 fasiliti KKM terjejas akibat banjir

FOTO BERNAMA

TUMPAT, 7 Disember- Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 121 fasiliti kesihatan awam termasuk klinik kesihatan dan hospital terjejas akibat banjir di seluruh negara.
 
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Kelantan mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 77 diikuti Terengganu 30, sembilan di Kedah, masing-masing dua di Negeri Sembilan dan  Pahang serta satu di Perak dengan anggaran kerugian melebihi RM6 juta.
 
Daripada jumlah tersebut, 56 adalah klinik desa, 34 klinik kesihatan, 19 klinik pergigian, lima pejabat kesihatan daerah, enam hospital dan satu pintu masuk antarabangsa.
 
Sebanyak 87 fasiliti kesihatan beroperasi dan 31 fasiliti kesihatan berpindah ke fasiliti alternatif manakala hanya tiga fasiliti tidak beroperasi kerana masih dalam proses pembersihan.
 
Di Kelantan, 31 klinik desa terjejas, 26 klinik kesihatan, 13 klinik pergigian, masing-masing tiga Pejabat Kesihatan Daerah dan hospital serta satu dipintu masuk antarabangsa di Rantau Panjang.
 
“Fasiliti kesihatan terjejas berjumlah 77 (di Kelantan) beroperasi 61 yang dipindahkan operasi 13, tiga hampir tidak boleh beroperasi kerana agak teruk kerosakannya, saya anggarkan kerugian dalam RM4 juta, atau saya harap tidak lebih daripada itu sementara di Terengganu saya dapat laporan terakhir RM2.5 juta," katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas melawan pusat pemindahan sementara (PPS) di MRSM Tumpat sempena lawatan kerja ke Kelantan hari ini.
 
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.
 
Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan termasuk fasiliti alternatif seperti biasa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE