
GEORGE TOWN, 12 April – Sebanyak 1,204 rumah ibadat bukan Islam (RIBI) di Pulau Pinang layak menikmati kadar nominal RM50 setahun bagi bayaran cukai tanah, hasil semakan dan penambahbaikan dasar yang dilakukan kerajaan negeri.
- Semakan bersama PTG mendapati hampir 90 peratus rumah ibadat bukan Islam memenuhi syarat untuk kadar nominal.
- Kerajaan negeri memerlukan semakan khusus bagi kes tertentu; rayuan boleh dikemukakan dengan borang disediakan untuk semakan semula.
- Sebelum ini, sesetengah rumah ibadat yang mengurus tanah perkuburan dan aktiviti lain dikenakan cukai jauh lebih tinggi.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, semakan bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri mendapati hampir 90 peratus rumah ibadat bukan Islam di negeri itu memenuhi syarat untuk menerima kadar tersebut.
“Secara umumnya, kita perlu meneliti perkara itu kerana dasar memang menetapkan RM50. Namun, ada keadaan tertentu yang kita perlu semak secara khusus.
“Mereka boleh mengemukakan rayuan dan mengisi borang yang disediakan, dan kita akan membuat semakan semula. Lazimnya, kadar RM50 ini akan diluluskan kerana ia merupakan keputusan dasar yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa rumah ibadat bukan Islam yang turut menguruskan tanah perkuburan dan aktiviti lain dikenakan cukai tanah yang lebih tinggi hingga mencecah ribuan ringgit setahun.