
KUCHING, 21 Februari – Kira-kira 12,000 petugas dan sukarelawan sedia digerakkan bagi membantu mangsa bencana di seluruh negara termasuk banjir yang melanda Sabah ketika ini.
- Lebih 12,000 petugas dan sukarelawan digerakkan untuk membantu mangsa bencana di seluruh negara.
- Bekalan di pangkalan hadapan sentiasa dipastikan mencukupi untuk membantu penduduk terjejas.
- Pelbagai kaunselor dan petugas sokongan psikologi disediakan untuk membantu mangsa dan kanak-kanak di PPS.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, angka itu melibatkan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi kerajaan berkaitan.
Menurut beliau, bekalan di pangkalan hadapan turut dipastikan sentiasa mencukupi bagi membantu penduduk terjejas.
“Kita sentiasa bersiap siaga dan bekerjasama rapat dengan NADMA. Seramai 4,785 pegawai dan kakitangan telah diatur gerak, manakala 155 kaunselor ditempatkan di setiap pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kaunselor serta petugas juga membantu mengisi masa kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti.
“Dalam pada itu, Khidmat Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai seramai 5,755 sukarelawan, selain Pasukan Sokongan Psikologi (PST) yang terdiri daripada 976 petugas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Mindness Tour Kaunseling Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) di Kampung Selabat, Bako, di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 77 asnaf dari 11 kampung sekitar kawasan Bako.