1,200 kampit Beras Melaka dikeluarkan setiap bulan tampung permintaan

Beras Melaka

MERLIMAU, 15 Mac – Sebanyak 1,200 kampit Beras Melaka seberat 10 kilogram dikeluarkan setiap bulan bagi menampung permintaan pengguna di negeri ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • FAMA dilantik sebagai pengedar tunggal bagi mengawal pengeluaran dan bekalan Beras Melaka.
  • Beras Melaka boleh diperoleh di pasar tani serta outlet atau kedai FAMA di seluruh negeri.
  • Kerajaan negeri sedang bincang meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pengguna menjelang Aidilfitri.
  • Program Semarak Syawal @ Pasar Tani tawar diskaun 10 hingga 30 peratus dan jual 3,000 ekor ayam pada RM5 seekor.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata beras tersebut boleh didapati di pasar tani serta outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh Melaka.

Menurut beliau, FAMA dilantik sebagai pengedar tunggal bagi memastikan pengeluaran serta bekalan beras itu dapat dikawal dengan baik.

“Sebanyak 1,200 kampit beras 10 kilogram akan dikeluarkan setiap bulan dan diedarkan oleh FAMA. Kita lantik FAMA sebagai pengedar tunggal supaya pengeluaran dapat dikawal dengan lebih teratur.

“Orang ramai boleh mendapatkannya di kedai FAMA atau pasar tani pada harga RM26 bagi setiap 10 kilogram,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya kini sedang dalam perbincangan bagi meningkatkan lagi pengeluaran Beras Melaka bagi memenuhi permintaan pengguna.

Sementara itu, Program Semarak Syawal @ Pasar Tani dilaksanakan bermula 14 hingga 19 Mac ini di enam lokasi pasar tani di seluruh Melaka.

Program berkenaan bertujuan membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri pada harga lebih rendah.

Menurut Dr Muhamad Akmal, pelaksanaan program itu menawarkan pelbagai barangan asas serta keperluan perayaan dengan diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Beliau turut memberi jaminan bekalan barangan keperluan menjelang Aidilfitri di Melaka adalah mencukupi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan kerana membantu meringankan beban rakyat Melaka, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.

“Program Semarak Syawal @ Pasar Tani ini memberi kelegaan kepada orang ramai kerana mereka boleh mendapatkan pelbagai barangan keperluan pada harga lebih murah, sekali gus membantu persiapan menyambut Syawal,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada pelancaran Program Semarak Syawal @ Pasar Tani peringkat negeri Melaka di sini.

Pada program berkenaan, sebanyak 3,000 ekor ayam turut dijual pada harga RM5 seekor sebagai gimik khas kepada pengunjung.