fb fb fb fb fb

12 cedera akibat dua kereta bertembung di Jengka

Foto: JBPM Pahang

KUANTAN, 29 September- Seramai 12 individu cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan di Jalan Felda Jengka 4 menghala ke Maran.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria, kemalangan pada pukul 12.29 tengah hari itu berlaku selepas kereta jenis Honda City dan Perodua Bezza bertembung di lokasi kejadian.

Beliau berkata seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka bersama jentera segera ke lokasi nahas sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Ketika kejadian, didapati tiga lelaki dan dua wanita menaiki kereta jenis Honda City, manakala sebuah lagi kenderaan iaitu Perodua Bezza dinaiki seorang lelaki, dua wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa, Mazlan Ibrahim, 52, yang tersepit di dalam kereta jenis Honda City dengan menggunakan peralatan khas.

Ujarnya, kesemua mangsa diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

ZEHRA BINTI ZAMBRI