12.5 juta rakyat manfaatkan SARA untuk Semua

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Lebih 12.5 juta rakyat Malaysia telah memanfaatkan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua dengan nilai pembelian lebih RM1 bilion dalam tempoh tiga minggu sejak dilancarkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 12.5 juta rakyat manfaat SARA Untuk Semua dengan pembelian melebihi RM1 bilion dalam tiga minggu.
  • Sistem diperkasa mampu proses lebih 11,000 transaksi seminit dan penggunaan MyKad memudahkan penyaluran bersasar.
  • Rangkaian Rakan Niaga melebihi 11,300 premis; sasaran 20,000 untuk tingkatkan akses kepada kedai runcit kecil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SARA untuk Semua adalah hasil penjimatan yang dicapai melalui penstrukturan semula kewangan negara.

”Ketirisan ditutup, tatakelola diperkemas dan hasil yang dijimatkan, dipulangkan kepada rakyat.

”Ini membuktikan bahawa apabila hasil negara diagih secara saksama, manfaatnya dirasai oleh isi rumah di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jualan pada hari pertama pelaksanaan SARA untuk Semua bagi tahun ini mencecah RM97 juta, hampir dua kali ganda berbanding nilai jualan RM50.7 juta direkodkan pada hari pertama tahun lalu.

Berdasarkan taburan geografi, SARA Untuk Semua menunjukkan kadar penggunaan lebih tinggi di Zon Borneo, Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia.

Sabah mencatatkan kadar penebusan tertinggi pada 70 peratus, diikuti Perlis (65%), Kelantan (64%), Labuan (64%), Terengganu (63%) dan Kedah (63%).

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kementerian Kewangan (MOF) telah memastikan kelancaran sistem bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada pengalaman pembelian rakyat.

“Daripada 3,782 transaksi seminit pada hari pertama pelaksanaan tahun lepas, sistem kini mampu memproses lebih daripada 11,000 transaksi seminit tanpa sebarang kelewatan atau gangguan.

”Penggunaan MyKad sebagai medium pelaksanaan memudahkan rakyat memanfaatkan bantuan bersasar, di samping memastikan penyaluran yang cekap dan terurus,” jelasnya dalam kenyataan sama.

Tambahnya, ini jelas terbukti dengan penggunaan kredit RM100 di bawah SARA Untuk Semua yang telah mencecah 56 peratus pengguna.

Beliau turut memaklumkan, baki kredit masih sah digunakan sehingga 31 Disember 2026.

Selain membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, program SARA turut menyokong aktiviti ekonomi setempat, khususnya di peringkat komuniti.

Bilangan Rakan Niaga SARA kini merangkumi lebih 4,400 kedai runcit kecil di seluruh negara, selain
rangkaian pasar raya sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan premis yang menerima transaksi SARA melebihi 11,300.

Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan kedai runcit kecil kepada 10,000 menjelang penghujung tahun 2026, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA kepada 20,000.

Peningkatan ini dijangka mengurangkan jarak purata ke premis penerimaan SARA kepada sekitar 7 kilometer berbanding 10 kilometer ketika ini, sekali gus memudahkan akses rakyat.