fb fb fb fb fb

105 penuntut UNISZA terkesan banjir terima sumbangan JAKIM

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Ruslan Said menyampaikan sumbangan keseluruhan bernilai RM60,748.

KUALA NERUS, 21 Disember- Seramai 105 penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, yang menjadi mangsa banjir gelombang pertama bulan lepas menerima sumbangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini. 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Ruslan Said berkata sumbangan yang keseluruhannya bernilai RM60,748 itu disampaikan pihaknya selaku penyelaras penyerahan sumbangan bersama agensi lain di bawah bidang kuasa portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). 

"Ini tanggungjawab yang kita tunaikan berdasarkan tugasan yang diberikan iaitu sampaikan sumbangan kepada mangsa musibah di seluruh negara dan kebetulan Pantai Timur baru sahaja dilanda banjir. 

"Sumbangan ini sesuai dengan hasrat kerajaan MADANI untuk pastikan semua mangsa dibantu walau di mana sahaja, mengikut kemampuan kita," katanya kepada pemberita selepas selesai menyerahkan sumbangan itu di sini hari ini.

Pada majlis itu, setiap penerima masing-masing mendapat sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM300, barangan keperluan, peralatan kebersihan dan kelengkapan solat. 

Antara agensi yang turut menyumbang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Tabung Haji, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan stesen televisyen Al-Hijrah. 

ZEHRA BINTI ZAMBRI