KUALA LUMPUR, 1 Januari- Situasi banjir di tiga negeri iaitu Kelantan, Pahang dan Johor semakin pulih dengan hanya 101 penduduk terjejas banjir masih berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS).
Berdasarkan laporan terkini yang dikeluarkan InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan berkurangan kepada 26 individu dan ditempatkan di satu PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Gual To'Deh,Pasir Mas.
Sementara itu bilangan penduduk terjejas banjir di Pahang masih kekal 34 individu yang berlindung di dua PPS iaitu Balai Raya Kampung Baru Pertanian (29) dan Sekolah Kebangsaan Serengkam (lima).
Satu PPS yang menempatkan 87 mangsa insiden tanah runtuh di Cameron Highlands juga telah ditutup.
Jumlah mangsa banjir di Johor pula tidak berubah dengan 41 individu masih berada di Balai Raya Gemereh IV (Batu Badak), Segamat setakat pukul 4.00 petang tadi.
Dalam pada itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati dua sungai berada pada paras bahaya namun menunjukkan trend menurun masing-masing di Sungai Golok di Pasir Mas, Kelantan (9.28 meter) dan Sungai Arau di Arau, Perlis (23.57 meter).
Terdapat 27 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh.
Jalan terlibat antaranya termasuk Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang, Johor; Jalan Sungai Sok-Chucuh Puteri, Kuala Krai di Kelantan; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik, Hulu Perak di Perak; dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang.