100 veteran ATM, PDRM dirai sempena ulang tahun ke-70 pengisytiharan tarikh kemerdekaan

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Nasrul Ahmad ketika ditemui dalam Majlis Gema Ramadan di Masjid As Saadah, Ujong Pasir, Melaka

MELAKA, 20 Februari – 100 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diraikan dalam majlis Gema Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis Gema Ramadan meraikan 100 veteran ATM dan PDRM dengan bacaan tahlil dan doa selamat sempena ulang tahun ke-70 pengisytiharan tarikh kemerdekaan.
  • Veteran menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan disampaikan oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya.
  • Promosi kemasukan percuma ke lokasi tarikan pelancongan ditangguhkan ke 31 Ogos untuk menghormati bulan Ramadan.
  • Veteran terharu dan gembira dihargai; mereka berharap program sebegini diteruskan setiap tahun.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Nasrul Ahmad berkata majlis tersebut diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-70 Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang disambut pada setiap 20 Februari.

Mereka turut menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan yang disampaikan oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

“Kita raikan dalam konsep yang sederhana sempena bulan Ramadan. 2 Ramadan kebiasaannya program pengisytiharan kemerdekaan ni, kita memang ada sambutan. Tetapi pada tahun ini, 20 Februari ini jatuh pada bulan Ramadan, maka kita mengadakan majlis bacaan tahlil dan doa selamat serta kita memperingati pesara-pesara tentera dan polis,” katanya dalam majlis Gema Ramadan di Masjid As Saadah, Ujong Pasir di sini.

Nasrul turut memaklumkan promosi kemasukan percuma ke lokasi-lokasi tumpuan pelancongan di negeri ini yang selalunya diberikan bersempena sambutan tersebut, ditangguhkan kepada 31 Ogos depan.

Langkah itu diambil Kerajaan Negeri bagi menghormati bulan Ramadan.

Sementara itu, veteran yang ditemui terharu dengan sambutan yang diadakan bagi mengenang jasa ATM dan PDRM semasa negara berusaha mencapai kemerdekaan.

“Ramai lagi kawan-kawan kita yang sama-sama berjuang pada zaman darurat dulu ada bersama kita dalam majlis ini. Yang kalau kita tengok yang bertongkat, yang pakai kereta sorong. Jadi rasa banggalah perjuangan selama ini dihargai oleh kerajaan walaupun kita tak minta. Sebenarnya kita tak minta untuk penghargaan ini, tapi Alhamdulillah dengan berkat kerajaan dihargai,”kata pesara polis, Kamarizman Kanapi.

Bagi Veteran ATM, Nor Harun Md Said, beliau rasa gembira dapat bertemu rakan-rakan seangkatan.

” Saya sangat gembiralah dapat jumpa bahagian-bahagian veteran yang lama-lama dan yang baharu. Macam bercampurlah diaorang dan pada saya memang amat baguslah program seumpama ini diadakan. Kalau boleh buatlah tiap-tiap tahun,”katanya.