KAJANG, 7 Disember- Seramai 100 sukarelawan dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) digerakkan bagi melaksanakan misi bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, inisiatif berkenaan dijalankan bagi menyantuni penduduk terjejas banjir, melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan mengagihkan bantuan barang keperluan harian.
"Misi kita ni adalah memberi keutamaan pada fokus seberapa kawasan di Kelantan khususnya kawasan Pasir Mas, Tumpat dan juga di daerah Besut Terengganu", katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan sesi pelepasan #SkuadIhsanMadaniKDN ke Kelantan dan Terengganu di Kajang, Selangor.
Tambahnya, inisiatif ini juga selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua pejawat awam memainkan peranan dalam menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan lebih ramai lagi anggota AADK akan digerakkan melaksanakan misi bantuan banjir jika diperlukan pada masa hadapan.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok dan Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainuddin Abdullah.