fb fb fb fb fb

100 pelajar dapatkan khidmat gunting rambut percuma di Masjid Jamek Razaleigh

Program Gunting Rambut di Masjid Jamek Razaleigh, Bandar Gua Musang

GUA MUSANG, 15 Februari- Seramai seratus pelajar menerima perkhidmatan gunting rambut percuma pada program Gunting Rambut di Masjid Jamek Razaleigh, Bandar Gua Musang di sini menjelang sesi persekolahan baharu yang akan bermula esok.

Imam Muda Masjid Jamek Razaleigh, Muhamad Khirul Safarudin Zulkifli berkata, program tahun ketiga itu adalah inisiatif pihak masjid untuk meringankan beban ibu bapa menjelang pembukaan persekolahan.

"Kita mendapat cadangan daripada jemaah sendiri untuk mengadakan program ini. Ini juga peluang untuk mendekatkan masyarakat dengan masjid.

"Program seperti ini dapat mengurangkan beban sesebuah keluarga, kalau ada anak ramai mungkin memerlukan kos juga untuk menggunting rambut. Jadi pihak masjid membantu untuk meringankan beban," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, ibu bapa dan penjaga menyifatkan program ini banyak membantu untuk meringankan beban keluarga khususnya kepada individu mempunyai anak yang ramai.

Azura Nibun berkata program seperti ini sangat membantu ketika musim persekolahan, lebihan duit boleh digunakan untuk perkara lain.

"Program ini sangat membantu dan menjimatkan anak-anak sekolah. Jadi ini menjimatkan, kalau seorang sahaja RM12 bayangkan kalau ramai. Ini sangat membantu," katanya.

Bagi Idris Said, dia juga turut menghantar anaknya untuk menggunting rambut sebelum sesi persekolahan dibuka.

"Saya nampak iklan ni di Masjid Jamek Razaleigh, pengumuman juga dibuat. Jadi saya pun bawa anak ke sini untuk menggunting rambut. Dapat juga berjimat," katanya.

Program berkenaan mendapat kerjasama dengan Broja Barber Shop dan menyediakan empat tukang gunting untuk memotong rambut pada program itu.

Kelantan, Terengganu dan Kedah akan memulakan sesi persekolahan 2026/2026 pada esok (16 Februari), manakala negeri-negeri lain akan memulakan sesi persekolahan pada 17 Februari.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI