fb fb fb fb fb

100 kakitangan RTM terima sumbangan barangan asas

Ismail Seman (enam kanan) bersama para penerima sumbangan barangan keperluan asas daripada Masjid Muhammadi/RTM

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Seramai 100 kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam kategori B40 menerima sumbangan barangan keperluan asas daripada Masjid Muhammadi di Angkasapuri di sini bagi membantu mengurangkan kos perbelanjaan menjelang Aidilfitri.

Timbalan Pengerusi Masjid Muhammadi, Ismail Seman berkata sumbangan bernilai RM150 bagi setiap penerima itu adalah hasil kutipan tabung Ramadan yang dilancarkan sejak awal Mac.

"Kami memberikan bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, mihun, dan sardin bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut lebaran yang bakal tiba," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemilihan penerima dibuat dalam kalangan kakitangan kategori B40 dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM4,000 sebulan.

"Kami membuat saringan teliti bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima sumbangan ini," tambahnya.

Sementara itu, penerima sumbangan, Mohd Amirul Osman meluahkan rasa syukur atas inisiatif Masjid Muhammadi dalam membantu kakitangan RTM yang memerlukan.

"Bantuan ini sangat membantu, lebih-lebih lagi dengan persiapan raya yang sedang dibuat. Alhamdulillah, rezeki," katanya.

Seorang lagi penerima, Izyan Lyana Abdul Shukor turut memaklumkan bantuan tersebut amat bermakna dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

"Terima kasih kepada Masjid Muhammadi kerana memberikan sumbangan ini kepada kakitangan yang memerlukan," katanya.

SITI AISHAH MD ISA