SEBERANG PERAI, 2 April - 100 hari pertama Steven Sim Chee Keong menerajui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), beliau telah melaksanakan 80 pembaharuan di kementerian tersebut.
Menurut Sim, empat teras utama pembaharuan yang dicapai adalah gaji pekerja, sektor latihan, keselamatan sosial dan tatakelola baik.
Ujar beliau, KESUMA telah melakukan semakan semula berkenaan gaji mininum pada tahun ini selain sedang berusaha mempercepatkan projek rintis dasar gaji progresif.
"Dari segi latihan, kita telah menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) dengan 13 penyedia latihan terkemuka dunia seperti Google, Microsoft, LinkedIn, Alibaba Cloud dan sebagainya sekali gus memberikan ruang kepada rakyat di negara kita untuk mengambil kursus ini melalui Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).
"Satu pelan jangka panjang bagi mewujudkan perlindungan keselamatan sosial selama 24 jam kepada pekerja juga sedang dirangka," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Iftar KESUMA MADANI di sini malam tadi.
Tambah Steven, dari aspek tatakelola baik, pihaknya telah mengarahkan semua jabatan dan agensi dibawahnya untuk mendapatkan pensijilan ISO Anti-Bribery Management System.
Jelasnya, kejayaan tersebut merupakan usaha bersama setiap warga KESUMA dari pelbagai peringkat.
Majlis tersebut turut meraikan ibu tunggal, anak yatim, dan penerima faedah Perkeso dengan pemberian sumbangan berbentuk duit dan hamper.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim.